Tuesday, 14 June 2011

TAJUK 2 : KATA SENDI


1. Kata sendi nama merupakan kata depan kepada kata nama.
2. Kata sendi bertugas sebagai kata yang merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa yang lain.
3. Kata sendi memerlukan frasa nama untuk membentuk frasa sendi supaya dapat bertugas sebagai predikat ayat.
4. Antara kata sendi yang lazim digunakan dalam Bahasa Melayu ialah seperti : di, ke, dari, daripada, kepada, pada, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, sampai, antara, untuk, dengan, dalam, dan sebagainya.
PENGGUNAAN KATA SENDI
KATA SENDI
PENGGUNAANNYA
AYAT CONTOH
di
  • Digunakan untuk tempat.
  • Dieja terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.
  1. Pertandingan itu diadakan di Ipoh.
  2. Cikgu Halimah bekerja di sekolah itu.
ke
  • Digunakan untuk tempat, masa dan benda konkrit tidak bernyawa.
  • Dieja terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.
  • Tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia atau binatang.
  1. Mereka akan ke Langkawi esok.
  2. Azmin menunggu Suraya dari pagi hingga ke petang.
  3. Cawan itu dihempaskannya ke lantai.
  4. Cik Safia ke surau.
dari
  • Digunakan untuk tempat, arah atau masa.
  1. Watie datang dari Kelantan.
  2. Kami menunggu dari pukul 9.00 pagi.
  3. Bola itu ditendang dari penjuru padang.
daripada
  • Digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan, dan untuk menunjukkan keanggotaan.
  1. Surat itu saya terima daripada Izani.
  2. Pembaris ini lebih panjang daripada pembaris itu.
  3. Ukiran itu diperbuat daripada perak.
  4. Kami memperoleh manfaat daripada ceramah agama itu.
  5. Kumpulan perompak senjata api itu terdiri daripada enam belas orang anggota.
Kepada/ akan/terhadap
  • Digunakan selepas kata adjektif yang menyatakan perasaan atau sikap
  1. Daniel suka akan rambutan.
  2. Hanim amat sayang akan/kepada ibunya.
  3. Kita mesti hormat akan/kepada/terhadap ibu bapa.
bagi/untuk
  • Digunakan untuk menentukan sesuatu yang dibezakan daripada yang lain.
  1. Derma untuk / bagi mangsa banjir sedang dipungut.
  2. Hadiah ini untuk Dollah.
pada
  • Digunakan untuk masa, manusia, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit tertentu.
  1. Mak Tam tiba pada pukul lapan malam.
  2. Tiket bas itu ada pada Akram.
  3. Pada pendapat saya, cerita itu benar.
demi
  • Digunakan dihadapan jkata nama atau frasa nama yang membawa maksud tujuan
  1. Rakyat Malaysia mesti bersatu demi kesejahteraan negara.
  2. Demi kepentingan bersama, marilah kita berdamai.
tentang
  • Digunakan untuk menyatakan makna berkenaan dengan
  1. Menteri-menteri itu berbincang tentang masalah negara.
seperti/ umpama/
laksana/bagai
  • Digunakan untuk membawa maksud perbandingan atau makna persamaan dengan yang lain.
  1. Pemuda itu berlagak seperti/ umpama/ laksana/bagai orang berada.
  2. Suaranya merdu seperti/umpama/ laksana/bagai buluh perindu.
dengan
  • Digunakan untuk menyatakan maksud bersama-sama atau serta, bandingan setara, keterangan cara, dan penggunaan sesuatu sebagai alat.
  1. Haziq bermain dengan Daud.
  2. Hasilnya tidak setimpal dengan usahanya.
  3. Faiz belajar dengan tekun.
  4. Niza menulis dengan pensel.
sejak/semenjak
  • Digunakan untuk membawa maksud penanda waktu atau masa.
  1. Milah sentiasa gembira sejak/semenjak suaminya pulang dari perantauan.
oleh
  • Digunakan selepas kata kerja pasif yang berawalan di- dan ter-
  1. Kuih ini dibuat oleh Nadiah.
  2. Anggota kumpulan itu terpengaruh oleh kata-kata ketua mereka.
hingga/sampai
  • Digunakan untuk menyatakan had masa, waktu atau tempat tertentu.
  1. Anggota-anggota polis berkawal hingga/ sampai larut malam.
  2. Fariz belajar hingga/sampai peringkat universiti.

No comments:

Post a Comment